Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin (kiri) melihat dadah yang akan dilupuskan Majlis Pelupusan Dadah Bil 1/2020 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 306 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai RM9.91 juta membabitkan siasatan sejak 30 tahun lalu berjaya dilupuskan Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pelupusan dadah itu membabitkan 5,251 kertas siasatan yang telah selesai proses perbicaraan bermula tahun 1988 hingga 2018.

Katanya, dadah yang dilupuskan hari ini terdiri daripada ganja, methamphetamin, heroin, ketamin, kokain dan pelbagai jenis dadah sintetik.

“Semua dadah itu dilupuskan menggunakan khidmat syarikat Kualiti Alam Sdn.Bhd dan ini merupakan kali ke enam kita berkolaborasi dengan syarikat tersebut.

“Kita melupuskan selepas 30 tahun sebab mengumpul semua terlebih dahulu sebelum dilupuskan.

“Lagipun, kes berjalan dan disiasat serta dibicarakan bukan setahun dua, tetapi lebih lima hingga 10 tahun dan jika kes gantung lagilah lama.

“Selepas dalam kelulusan Peguam Negera kami laksanakan pelupusan ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis tersebut di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kualiti Alam Sekitar Mohd Norsuradi Man berkata, pihaknya akan melupuskan 100 tan dadah setiap hari.

“Kita menggunakan loji dengan tahap pemanasan 1,000 darjah Celsius yang tidak akan mencemarkan alam sekitar dan menghasilkan tenaga hijau, sekali gus mampu bekalkan elektrik kepada 9,000 rumah dalam satu masa,” ujarnya.- MalaysiaGazette