PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Polis menahan seorang  wanita kerana disyaki mendera anak perempuan tirinya berusia sembilan tahun dengan menggunakan pisau yang dipanaskan sehingga menyebabkan mangsa melecur di lengan kanan.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azari Miskon berkata kejadian dipercayai berlaku pada 3 petang Ahad lepas, di sebuah perumahan pekerja ladang di Muadzam Shah, kira-kira 90 kilometer dari sini, namun mangsa hanya mengadu kejadian itu kepada guru sekolahnya semalam.

“Suspek yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai buruh ladang dipercayai mendera mangsa kerana tidak berpuas hati dengan perbuatan kanak-kanak itu yang dikatakan memukul adik tirinya semasa suspek dan suaminya tiada di rumah.

“Sebagai hukuman, suspek dikatakan memanaskan pisau di dapur gas dan meletakkannya di lengan mangsa sehingga menyebabkan dua kesan lecur selain terdapat kesan lebam di dada serta kedua-dua paha mangsa,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Azari berkata mangsa telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Chanis, Muadzam Shah selepas dibawa oleh pihak sekolah yang turut melaporkan kejadian itu kepada polis.

Mangsa kini ditempatkan sementara di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Sultanah Hajah Kalsum, di sini.

Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah akan direman di Mahkamah Majistret Rompin esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA