Masih ramai individu gagal mematuhi SOP PKP ditahan dan dikenakan kompaun serta direman.

KUALA LUMPUR- Seramai 137 individu ditahan semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut 111 individu telah dikompaun, 25 direman dan satu dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (39), penjarakan fizikal (32), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (25), disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran (14), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (10), keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan munasabah (7), tidak memakai pelitup muka (6), dan premis beroperasi tanpa kebenaran (4),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ismail Sabri, sebanyak 2,609 pasukan pematuhan yang melibatkan 11,940 anggota telah membuat pemantauan di 3,484 pasar raya, 5,004 restoran serta 1,111 penjaja, 1,035 kilang, 3,312 bank dan 587 pejabat kerajaan.

Juga dipantau, sebanyak 1,008 terminal pengangkutan darat, 276 terminal pengangkutan air serta 108 terminal pengangkutan udara.

Dalam pada itu, seramai 67 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), lima tekong dan tiga penyeludup telah berjaya ditahan dalam Operasi Benteng semalam.

Turut dirampas adalah sebuah bot dan 13 kenderaan darat.

“Daripada jumlah itu, pasukan ATM berjaya menahan lapan PATI atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah di Ladang Sg Tengah, Johor manakala pasukan PDRM berjaya menahan dua PATI atas kesalahan memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah di Pengkalan Haram Kebun, Pengkalan Kubor, Kelantan,” katanya lagi.

Sebanyak 91 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (69 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (12 SJR), semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast