Anbumani Balan.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu berani keluar daripada sindrom penafian dan mula menerima hakikat bahawa rakyat sedang menghantar isyarat penting terhadap parti itu serta Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan berkata, kekalahan dalam beberapa pilihan raya negeri termasuk di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan wajar dilihat sebagai teguran politik yang perlu diambil serius bukan dicari alasan atau kambing hitam.

“PKR perlu keluar daripada sindrom penafian. Sebaliknya, parti perlu berani melakukan refleksi politik, membaca mesej pengundi dan membuat pembaharuan sebelum PRU-16,” katanya dalam kolum komentarnya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pergulungan sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2026.

Menurut Anbumani, sejarah PKR membuktikan parti itu pernah melalui pelbagai pergolakan, termasuk pertukaran kepimpinan, perpecahan dan kemunculan parti serpihan namun tetap mampu bertahan sehingga berjaya membentuk kerajaan.

Namun sejarah perjuangan sahaja tidak mencukupi kerana rakyat hari ini lebih menilai prestasi semasa kerajaan, terutama berkaitan kos sara hidup, pekerjaan, pendidikan, ekonomi, integriti dan kestabilan negara.

Sehubungan itu, Kongres Nasional PKR di Melaka sepatutnya tidak hanya menjadi medan mengulang slogan reformasi atau meraikan pencapaian kerajaan, tetapi ruang untuk parti mendengar keresahan akar umbi dan rakyat.

Anbumani turut mempersoalkan sama ada kepimpinan di semua peringkat benar-benar memahami keresahan rakyat selain mengingatkan keputusan pilihan raya tidak boleh dijangka hanya berdasarkan sejarah perjuangan parti.

Beliau berkata, PKR juga perlu melihat secara jujur sama ada dasar dan pendekatan kerajaan benar-benar dirasai rakyat atau sekadar dilihat baik dari sudut pentadbiran dan politik.

“Rakyat tidak membuat keputusan berdasarkan sejarah perjuangan semata-mata. Mereka melihat keadaan hari ini dan apa yang dilakukan kerajaan untuk mereka,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan PKR supaya tidak menganggap kritikan terhadap parti sebagai usaha melemahkan kerajaan, sebaliknya menjadikannya peluang untuk memperbaiki kelemahan sebelum rakyat membuat penilaian di peti undi.

Katanya, jika PKR mahu terus menjadi wadah perubahan politik, parti itu perlu memastikan perjuangan reformasi bukan sekadar slogan yang diulang ketika kongres tetapi diterjemahkan dalam tindakan dan dasar yang memberi kesan kepada rakyat.

“Jangan tunggu sehingga rakyat memberikan jawapan di peti undi. Berani mendengar, berani mengakui dan berani membetulkan kelemahan. Parti yang berani menerima kebenaran hari ini akan lebih bersedia menghadapi keputusan rakyat esok,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here