Akar umbi yang rata-rata beragama Islam tampil membidas ahli parti itu sendiri yang mempertahankan perobohan kuil di Perlis.

KUALA LUMPUR –  Seramai 14 pemimpin dan anggota akar umbi DAP tampil membidas kenyataan seorang pemimpin parti itu berhubung isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, Perlis.

Mereka terdiri daripada Pengerusi DAP Cawangan Setia Impian, Muhammad Shakir Ameer Mohideen; Ahli DAP Cawangan Alam Jaya, Edry Faizal; Pengerusi DAP Cawangan Bandar Baru Bangi, Farhan Haziq; Setiausaha DAP Cawangan Pekan Paloh, Abdul Majid Abd Aziz; dan Pengerusi DAP Cawangan Pusat Bandar Shah Alam, Nor Miswary Ramli.

Turut menandatangani kenyataan itu ialah Ahli DAP Cawangan Kampung Baru Bt 9 Cheras, Shukri Mokhtar; Ahli DAP Cawangan Taman Kemuncak, Muhammad Najib Anuar; Ahli DAP Cawangan Taman Kemuncak, Muhammad Muzamir Abdul Rahman; Setiausaha DAP Cawangan Taman Kemuncak, Izzul Afiq; serta Pengerusi DAP Cawangan Kampung Tunku SS1, Mohd Aslam Ahmad Ramli.

Tiga lagi ialah Ahli DAP Cawangan Bandar Baru Bangi, Muhammad Nurhadi; Pengerusi DAP Cawangan Kg Baru Pasir Pinji, Aldrin Ng; Naib Ketua DAPSY Selangor, Nur Rahim Nasir; dan Ahli DAP Cawangan Taman Seroja, Azfar Faruqi Mohamad Idris.

Walaupun tidak menamakan individu berkenaan, kenyataan bersama itu dilihat merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung isu tersebut.

Mereka menegaskan, seseorang pemimpin yang bertanggungjawab wajar mendidik masyarakat mengenai pematuhan undang-undang sekiranya sesuatu isu mempunyai unsur pelanggaran peraturan, bukannya mempertahankannya.

“Pemimpin mesti menyemak fakta dan mengambil pendirian yang tidak berpihak jika ada kepentingan masyarakat yang dilihat menyalahi perundangan negara,” menurut kenyataan bersama itu kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mereka turut mengingatkan tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang, termasuk pemimpin besar negara, dan prinsip itu perlu diterapkan secara konsisten tanpa dwi standard.

Menurut mereka, prinsip Kedaulatan Undang-Undang dalam Rukun Negara menuntut semua pihak menjunjung undang-undang mengatasi kepentingan parti dan peribadi.

“Konsep ‘rule of law’ inilah menjadi pegangan parti sejak sekian lama,” tegasnya.

Mereka berkata, perbincangan untuk mencari penyelesaian terbaik terhadap sesuatu isu adalah perlu dan amat digalakkan demi kesejahteraan bersama.

Bagaimanapun, mereka menegaskan ruang perbincangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menggalakkan pelanggaran undang-undang.

Mereka turut memberi amaran, kenyataan yang dibuat secara melulu, lebih-lebih lagi oleh pemimpin yang mempunyai latar belakang perundangan, boleh menimbulkan salah faham dan seolah-olah membela semua tindakan pencerobohan atas nama agama.

“Ini amat membahayakan hubungan antara agama dan kaum di Malaysia ini,” tegas mereka.

Sebelum ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis juga tampil membidas kenyataan sambil menggesa isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar tidak dijadikan polemik politik, kaum atau agama sehingga menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

Ketuanya, Azzin Izzad Bahanudin berkata, isu berkenaan perlu dilihat dari sudut penguatkuasaan undang-undang, selain menghormati hak kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

Rayer gesa BN nilai semula kerjasama dengan PN susulan kuil diroboh

AMK Perlis gesa isu perobohan kuil tidak dipolitikkan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here