Gambar hiasan

PAPAR – Pengumuman penambahbaikan mekanisme subsidi diesel oleh Kerajaan Persekutuan dijangka dibuat dalam tempoh kurang daripada sebulan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) optimis pengumuman itu mampu dilakukan lebih awal berbanding anggaran tempoh antara satu hingga dua bulan sebelum ini.

Tidak berniat untuk mendahului Kementerian Kewangan (MOF), Armizan berkata KPDN optimis kerana dalam tempoh itu sesi libat urus dengan pihak terlibat telah dilaksanakan dan segala maklum balas sudah diberikan kepada MOF.

“Maklum balas serta input daripada Kerajaan Negeri Sabah, Kerajaan Negeri Sarawak, dan KPDN telah disampaikan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan selaku agensi Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab.

“Terdapat beberapa penambahbaikan telah dikenal pasti bagi memastikan pelaksanaan subsidi berkenaan sentiasa memelihara kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah MADANI dan Kempen Internet Selamat di sini, hari ini.

Pada 16 Ogos lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata beberapa penambahbaikan pelaksanaan sistem subsidi diesel bersasar sedang diteliti, dan bakal diumumkan kerajaan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.

Amir Hamzah berkata langkah penambahbaikan itu, merangkumi penyederhanaan proses permohonan, kelonggaran kriteria kelayakan bagi isu kenderaan sambung bayar, dan pemindahan kuota kepada ahli keluarga terdekat.

Sementara itu, Armizan berkata KPDN telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan terhadap dua syarikat pengusaha feri, yang menaikkan harga tambang feri di Kudat melibatkan perjalanan dari Kudat ke Pulau Banggi.

Beliau berkata notis mendapatkan maklumat yang dikeluarkan pada penghujung Mac lepas kepada syarikat itu tidak mendapat maklum balas, sekali gus mendorong arahan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menyiasat kewujudan elemen pakatan harga.

“Saya mengarahkan MyCC untuk memulakan tindakan penyiasatan kerana terdapat aduan bahawa berlaku elemen pakatan kerana kedua-dua syarikat telah membuat pengumuman kenaikan harga bersama. Sebarang unsur pakatan harga adalah menyalahi Akta Persaingan,” katanya.

Mengulas dakwaan syarikat pengusaha feri yang tidak menerima subsidi diesel, beliau menjelaskan bahawa feri penumpang awam layak mendapat subsidi menggunakan skid tank menerusi permohonan kepada Jabatan Laut Malaysia.

“Bagaimanapun, hasil semakan kami mendapati kedua-dua syarikat feri berkenaan masih belum mengemukakan sebarang permohonan rasmi walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Armizan mencadangkan Kerajaan Negeri Sabah mengkaji pengambilalihan kawal selia dan perlesenan feri penumpang di bawah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah bagi membuka ruang persaingan pasaran.

Beliau berkata perkara berkenaan akan dibawa kepada perhatian Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, yang bertanggungjawab terhadap portfolio pengangkutan dan pelabuhan di negeri ini. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here