Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohammed Azmin Ali yakin gabungan Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dapat membentuk kerajaan negeri baharu selepas tamatnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini.

Ia digambarkan melalui sokongan dalam siri kempen yang dibuat dirinya di seluruh negeri Sabah sebelum ini.

“Saya percaya dengan sokongan daripada jentera dan rakyat Perikatan Nasional, BN dan PBS dijangka dapat membentuk kerajaan baharu pada hujung minggu ini,” katanya kepada media selepas Program Majlis Sentuhan Mesra Warga DUN Merotai di Bilik Gerakan Utama (BGU) Perikatan Nasional hari ini.

Malah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut gembira dengan sambutan pengundi dengan calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Jailani Chachu.

“Alhamdulillah, saya telah menjelajah ke banyak daerah dan mukim dan saya gembira melihat sambutan daripada rakyat Sabah untuk membawa perubahan yang cukup meyakinkan.

“Seperti di Merotai, kita ada calon yang cukup baik yang telah memberikan khidmat sebagai tokoh pendidik dan beliau juga amat dihormati dan dikenali oleh masyarakat tempatan.

“Saya percaya dengan sokongan daripada jentera dan rakyat Perikatan Nasional, BN dan PBS dijangka dapat membentuk kerajaan baharu pada hujung minggu ini,” katanya lagi.

Berbaki kurang 48 jam, sebanyak 1.12 juta pengundi di Sabah bakal memilih kerajaan samada daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) mahupun Perikatan Nasional. – MalaysiaGazette