palm oil benefits

KUALA LUMPUR- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan melaksanakan aktiviti kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang bagi menjamin pertumbuhan industri sawit yang teratur dan mampan.

Ketua Pengarahnya, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam akan diteliti serta disiasat mengikut kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta 582 dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Pelaksanaan tindakan penguatkuasaan ini terpakai bagi semua yang terlibat dengan industri sawit termasuk pemegang lesen MPOB. Dalam usaha mengawal selia industri sawit, MPOB tidak boleh dilihat sebagai mengamalkan penguatkuasaan terpilih (selective enforcement).

“Laporan media sebelum ini menyiarkan dakwaan pihak tertentu terhadap tindakan penguatkuasaan MPOB sebagai agensi yang bertanggungjawab mengawal selia industri sawit.

“Penguatkuasaan peraturan dalam industri sawit dilaksanakan oleh pejabat MPOB di seluruh negara termasuk pemantauan aktiviti pengalihan minyak sawit, pencemaran kualiti dan pematuhan peraturan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Parveez, bagi kesalahan-kesalahan aktiviti tanpa lesen di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005 atau kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Mutu) 2005, ia tidak boleh dikompaun.

Kertas siasatan yang lengkap dengan bukti yang mencukupi dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan di mahkamah.

Tiada pengecualian dalam tindakan undang-undang dan sebarang rayuan supaya tidak meneruskan siasatan dan menghentikan semua tindakan penguatkuasaan serta memulangkan semula semua barang kes termasuk keluaran kelapa sawit yang disita tidak akan dipertimbangkan.

Menurut Ahmad Parveez, MPOB telah membangunkan Sistem Pemantauan Sawit (SPS) bagi memantau pergerakan kenderaan yang mengangkut minyak sawit bagi elak salah laku.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ada ‘orang dalam’ bantu sindiket jual minyak pasaran gelap – YPNM