Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) yang juga calon Warisan N.65 Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diiringi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) dan calon Warisan N.26 Moyog, Datuk Darell Leiking (kanan) pada Majlis Bersama Belia Anjuran Sabah Unity Movement sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Teluk Likas, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mahu menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berbaki lebih kurang sehari sahaja lagi.

Justeru bekas Ketua Menteri Sabah itu enggan  melayan soalan berhubung dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa menerima sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan Persekutuan baharu.

“Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu saya mahu fokus kepada pilihan raya yang ada dua hari lagi. Saya di sini untuk menang pilihan raya.

“Kami mahu sokongan terhadap kerajaan Warisan di Sabah,” katanya kepada pemberita ketika hadir di Majlis Bersama Belia anjuran Unity Movement hari ini.

Turut hadir Timbalan Presidrn Warisan Datuk Darell Leiking dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Anwar yang juga Presiden PKR semalam membuat kejutan apabila mendakwa menerima sejumlah sokongan daripada Ahli Parlimen Melayu dan Islam bagi menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut memaklumkan  sepatutnya mengadap Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) semalam namun pertemuan itu terpaksa ditangguhkan kerana YDPA dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menerima rawatan.

Meskipun diasak, Shafie kekal dengan pendiriannya tidak mahu mengulas isu berkenaan.

Parti Amanah Negara (Amanah)  telah menyatakan sokongan terhadap Anwar untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Mengulas khusus tentang kerjasama parti dalam Warisan Plus yang bertanding pilihan raya kali ini, Shafie menambah beliau berpuas hati melihat kesatuan antara satu sama lain demi mempertahankan kerajaan negeri berkenaan.

“Gerakan yang patut menerujakan kita memeranjatkan saya, saya tidak pernah melihat kerjasama kuat di antara Warisan, UPKO,DAP dan Amanah bekerjasama berkempen untuk mengundi.

“Saya tengok ada pemimpin yang tidak bertanding tetapi bekerjasama untuk memastikan calon yang bertanding menang,” tambahnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anwar bakal tubuh kerajaan, tunggu perkenan Agong