Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bercakap pada sidang media khas bersama isterinya yang merupakan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (kiri) dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, mengumumkan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih pemerintahan kerajaan Persekutuan daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas mendapat majoriti yang cukup kukuh Ahli Dewan Rakyat.

Pengerusi PH itu berkata, beliau cuba mengadap Yang di-Pertuan Agong kira-kira jam 11 malam tadi untuk memaklumkan keputusan berkenaan, tetapi ditangguhkan kerana baginda telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) atas faktor kesihatan.

“Alhamdulillah, kita dapat sokongan yang kukuh dan menyakinkan dari Ahli Parlimen untuk pertukaran kerajaan.

“Kita mendapat sokongan majoriti di kalangan Ahli Parlimen Melayu dan Islam.

“Saya merancang menghadap Tuanku malam tadi, tetapi baginda dimasukkan ke IJN dan kita sama-sama doakan baginda sihat wal’afiat,” katanya pada sidang media khas di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut Anwar, dengan sokongan majoriti yang kukuh itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau mengajak Presiden Parti Bersatu itu untuk bekerjasama dengannya dan boleh berkhidmat dengan apa-apa jawatan.

“Muhyiddin sekarang sudah jatuh. Tidak lagi sebagai perdana menteri. Saya persilakan dia untuk bekerjasama dengan PH.

“Kalau dia bersedia, dia boleh berkhidmat dengan apa jawatan,” katanya.

Ditanya adakah Tun Dr. Mahathir Mohamad ikut terlibat dengan perubahan kerajaan ini,
Anwar dengan lantang menjawab, “No” (tidak). Mahathir tidak ada.

Beliau juga memberitahu media, akan mempersembahkan jumlah kerusi yang diperolehinya kepada Tuanku Yang di-Pertuan Agong sebaik baginda diumumkan sihat dan keluar dari IJN.

“Jumlahnya cukup menyakinkan. Bukan (majoriti) kecil. Mereka Ahli Parlimen dari pelbagai. Mereka akan menyusul dengan pandangan masing-masing selepas ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, perubahan kerajaan ini tidak ada kena mengena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. – MalaysiaGazette

7 Komen

  1. wayang PRN sabah…nak alihkan pengundi sokong dia…dia tahu agong kat IJN lps tu bagi alasan tak dpt jumpa agong…kita tunggu Abah punya announcement pulak…

  2. Haaaaa senang jer ko nak turun kan PM. Ko jgn lupa ko kena buat undi tak percaya di Dewan Rakyat lah mangkok. Itu pun kalau usul ko diterima oleh speaker. Yang ke dua, mcm di Sabah ko jgn lupa TS Muhyidin boleh nasihatkan DYMM Agong untuk bubarkan parlimen….mangkok ayun betul dia ni…kemaruk nak jadi PM…rakyat bosan dan meluat!

  3. No komen. Politik punya hal kalau kepala ni macam gasing dah berpusing terhantuk ke dinding pecah otak ni berderai .Dah letih penat lamalama dah nak naik gila dibuatnya. Selamat Tinggal Pergi Jauh.

Comments are closed.