Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang rakan mereka dalam kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di Taman Pengkalan Indah, dua minggu lepas.

T. Thurairaj, 28, pemandu lori, dan T. Gunaraj, 27, penganggur mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurhasmanita Abdul Manap.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dua beradik itu didakwa membunuh R. Anbarasu, 25, juga pemandu lori, di Jalan 17, Taman Pengkalan Indah, antara 9.15 malam dan 9.30 malam, 13 Sept lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 30 Okt ini untuk sebutan semula kes itu yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arthana Sarma Rao sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar.

Sementara itu, turut didakwa berkaitan kes pergaduhan sama ialah seorang penjaga stor, M. Ananababu, 30, yang dituduh menyebabkan kecederaan menggunakan parang ke atas T. Pragash, 33, iaitu abang kepada dua beradik yang didakwa membunuh tersebut.

Tertuduh  mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Dia turut mengaku tidak bersalah melakukan khianat dengan memecahkan cermin depan dan tepi kenderaan jenis Proton Wira milik Pragash sehingga menyebabkan kerugian RM1,000, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ananababu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 9 malam di lokasi dan hari yang sama dengan kejadian pembunuhan Anbarasu.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas Ananababu yang tidak diwakili peguam dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut ditetak selepas dipercayai menunjukkan kemaluannya kepada isteri orang dalam satu kejadian pergaduhan di Taman Pengkalan Indah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Nor Yhazid Idris berkata sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya dipercayai telah menimbulkan kekacauan dan membuat bising di depan sebuah rumah sehingga mencetuskan pergaduhan.

— BERNAMA