Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR- Orang ramai boleh mula mendapatkan jawapan bagi soalan-soalan lazim (FAQ) berhubung pakej Kita Prihatin di laman web Kementerian Kewangan bermula hari ini dengan mengakses https://www.treasury.gov.my/index/php/kitaprihatin2020.

Pakej Kita Prihatin atau Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 September lalu.

Berikut adalah perincian maklumat berkenaan inisiatif-inisiatif yang diumumkan di bawah Kita Prihatin yang disediakan oleh Kementerian Kewangan:-

GERAN KHAS PRIHATIN (GKP – Pembukaan Semula)

  1. Kerajaan peka dengan pandangan peniaga kecil dan sederhana (PKS) mikro yang mengalami kesukaran tetapi tidak sempat memohon peruntukan asal GKP, atau tidak layak memohon sebelum ini kerana hanya mendaftarkan perniagaan selepas 31 Disember 2019.
  2. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk mengadakan peruntukan tambahan sebanyak RM600 juta bagi inisiatif Geran Khas Prihatin (GKP) untuk PKS mikro yang belum pernah menerima GKP sebelum ini. Pembukaan semula GKP ini mengekalkan jumlah geran sebanyak RM3,000 setiap pemohon yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM); atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum atau pada 31 Ogos 2020. GKP (Pembukaan Semula) ini dijangka akan memanfaatkan 200,000 PKS mikro untuk membantu aliran tunai serta sebagai modal perniagaan.

PROGRAM SUBSIDI UPAH 2.0 (PSU 2.0)

  1. Program Subsidi Upah 2.0 (PSU 2.0) merupakan kesinambungan daripada Program Subsidi Upah di bawah PRIHATIN dan PENJANA, yang telah pun membantu 300,000 majikan menyelamatkan lebih 2.6 juta pekerja. PSU 2.0 bertujuan membantu mengekalkan pekerja bagi majikan yang masih terkesan oleh pandemik Covid-19.

4. Peruntukan bagi inisiatif PSU 2.0 ini berjumlah RM2.4 bilion, dan ianya dijangka akan memanfaatkan 160,000 majikan untuk mengekalkan 1.3 juta pekerja selama 3 ke 6 bulan. Penambahan peruntukan PSU 2.0 melalui Pakej KITA PRIHATIN juga akan membawa keseluruhan Program Subsidi Upah kepada lebih RM17 bilion.

BANTUAN PRIHATIN NASIONAL 2.0

  1. Kerajaan juga mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh golongan B40 dan M40. Sehubungan itu, Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) yang berjumlah RM7 bilion akan disalurkan kepada mereka yang layak bermula pada hujung bulan Oktober 2020. Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan inisiatif BPN melebihi RM18 bilion kepada 10.6 juta penerima, yang merangkumi golongan bujang dan isi rumah.
  2. Kerajaan juga akan membuka ruang untuk rayuan bagi mereka yang tidak pernah menerima apa-apa bantuan BPN atau BSH sebelum ini. Permohonan baharu BPN 2.0 dibuka mulai 15 Oktober – 15 November 2020 dan boleh dibuat melalui pautan https://bpn.hasil.gov.my; atau dengan menghantar borang secara persendirian ke cawangan / Pusat Khidmat Hasil (PKH) / UTC LHDNM. Borang permohonan boleh dimuat turun dari pautan https://bpn.hasil.gov.my. Pemohon tidak perlu mengemukakan sebarang dokumen sokongan semasa permohonan. Kesemua permohonan akan disemak berdasarkan data agensi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF). – MalaysiaGazette