Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan satu lagi kluster baharu terpencil iaitu Kluster Orkim yang dikesan di Johor.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kluster baharu ini melibatkan krew kapal yang berlabuh di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.

“Kes pertama bagi kluster iaitu kes ke-10,572 merupakan salah seorang krew kapal yang merupakan warganegara Indonesia.

“Dia telah sign-on di Singapura pada 10 September lalu. Kes mula bergejala demam, batuk, sesak nafas, cirit-birit dan muntah sejak 13 September lalu namun tidak memaklumkan kepada majikan.

“Dia telah sign-off pada 17 September lalu dan hanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta pada 22 September baru-baru ini.

“Dia seterusnya dirujuk ke Hospital Permai, Johor di mana beliau didapati positif Covid-19 pada 23 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom, Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Noor Hisham, hasil saringan krew kapal yang lain mendapati satu lagi kes positif yang juga merupakan warganegara Indonesia.

“Kes positif kedua ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom, Johor.

“Seramai 30 krew kapal yang bertugas dalam kapal ini telah disaring,” katanya.

Katanya lagi, daripada 30 krew kapal itu, dua dikesan positif Covid-19 manakala 24 individu lain adalah negatif dan empat individu pula masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di kapal tersebut. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.