Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan kerja-kerja persiapan akhir sebelum hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Sekolah Kebangsaan Kampung Simunul, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 25 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Manakala individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian serta individu bergejala Covid-19 yang sedang dalam rawatan dan ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran serta tidak menggugat ketenteraman awam semasa proses Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, esok.

Tegasnya, sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan.

Dalam kenyataan hari ini, SPR berkata, sebanyak 741 Pusat Mengundi dan 2,540 saluran akan dibuka bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah esok.

Seramai 28,656 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian itu yang membabitkan seramai 1,088,711 orang pengundi.

Beliau sekali lagi mengingatkan pengundi supaya keluar mengundi mengikut “Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan’ seperti mana yang tercatat pada kad pengundi.

Namun, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang atau waktu yang telah diwartakan.

Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiapkan bilik mengundi sebelum hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Mengundi N.14 Tamparuli, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, Tuaran, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2020.

”SPR juga mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRU DUN Sabah Ke-16 esok.

”Mana-mana majikan yang menghalang pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah beliau, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka separuh, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan hand sanitizer dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

”Pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi.

”Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan Garis Panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi,” ujarnya. – MalaysiaGazette