Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat melakukan kerja-kerja persiapan akhir menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Penampang, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan tidak ada pengundi hantu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung esok.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, semua data daftar pemilih diterima daripada Jabatan Pendaftaran. 

“Daftar pemilih yang kita ambil dari Jabatan Pendaftaran Negara maknanya mereka terdiri daripada warganegara Malaysia jadi tidak timbul pengundi halimunan dan sebagainya. Data kita adalah data rasmi,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau menyatakan demikian selepas membuat tinjauan persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog.

Seramai 1,088,711 orang daripada 1,103,646 orang pengundi biasa layak mengundi esok dan 14,935 orang telah mengundi secara pos pada 22 September lalu. 

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, SPR telah menerima 10 laporan mengenai salahlaku berkempen manakala satu tangkapan telah dibuat.

Menurutnya, sebarang laporan salahlaku perlu dibuat menerusi saluran yang telah disediakan suruhanaya itu.

“Soal salahlaku pihak kita telah menyediakan saluran untuk kes begini kena salurkan terus kepada SPRM. Lima pusat SPRM untuk aduan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette