Anak mangsa Muhammad Danial Ikmal Zulkifli,18 dan Nur Diyana Basirah Zulkifli, 15, menerima Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pencen Penakat manakala anak sulung allahyarham, Mohamad Haris Zulkifli, 27, menerima Faedah Pengurusan Mayat.

KUALA LUMPUR- Waris nelayan yang lemas selepas botnya dirempuh bot lain dalam kejadian di muara sungai berdekatan jeti Pengkalan Segantang Garam, Merbok, Kedah menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini.

Anak mangsa Muhammad Danial Ikmal Zulkifli,18 dan Nur Diyana Basirah Zulkifli, 15, menerima Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pencen Penakat manakala anak sulung allahyarham, Mohamad Haris Zulkifli, 27, menerima Faedah Pengurusan Mayat.

Perkeso dalam kenyataannya berkata, ini adalah kes pertama melibatkan nelayan yang meninggal dunia akibat Bencana Pekerjaan Sendiri sejak Memorandum Persefahaman di antara agensi itu dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ditandatangani pada 9 Ogos lalu.

“Selain mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 ketika menjadi nelayan, allahyarham juga pernah mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) ketika bekerja dengan beberapa syarikat termasuk sebagai pemandu lori.

“Hasil semakan Skuad Perkeso Prihatin mendapati caruman Allahyarham memenuhi syarat kelayakan dan melayakkan warisnya menerima bantuan faedah di bawah kedua-dua skim,” katanya.

Faedah telah disampaikan oleh Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed di rumah anak sulung allahyarham di Kampung Kuala Segantang Garam.

Hadir sama ialah Ahli Jawatankuasa SKSPS, Ustaz Haji Ahmad Yahya dan Timbalan Pengarah LKIM Negeri Kedah, Fairus Ariffin.

Pencen Penakat adalah faedah dalam Skim Keilatan di bawah Akta 4 yang dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans PERKESO meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Antara syarat Pencen Penakat adalah meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman.

SKSPS pula memberi perlindungan kepada Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS) daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk penyakit pekerjaan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.

Skim ini menyediakan faedah tunai kepada OBBS dan tanggungan mereka di samping rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast