Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR- Terdapat 12 kes baharu kes positif Covid-19 hari ini melibatkan individu yang baru pulang dari Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat tiga kes di Kuala Lumpur; masing-masing dua kes di Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang; serta masing-masing satu kes di Pahang, Melaka dan Johor.

Kesemuanya adalah warganegara Malaysia.

Susulan itu, kerajaan katanya, mewajibkan semua individu yang baru pulang dari Sabah melalui semua pintu masuk domestik dan antarabangsa untuk menjalani ujian saringan Covid-19 bermula esok sehingga 10 Oktober depan.

Dalam pada itu, Malaysia merekodkan 82 kes baharu positif Covid-19 melibatkan 79 penularan tempatan dan tiga kes import.

Tiada kematian direkodkan hari ini.

Sabah terus mencatatkan kes harian tertinggi sebanyak 64 kes melibatkan 33 kes daripada Kluster Benteng LD; 25 kes daripada Kluster Bangau-Bangau; tiga kes saringan bergejala; masing-masing satu kes saringan petugas kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa pulang dari semenanjung; kes Influenza-Like-Illness (ILI) di Klinik Kesihatan Tawau; dan saringan kemasukan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

Menyentuh kes import, Dr. Noor Hisham berkata, terdapat dua kes melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari Yaman dan Bangladesh manakala satu kes melibatkan bukan warganegara yang baru tiba dari Filipina.

Sehingga kini, terdapat lapan  kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Terdapat 89 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,785 kes berbanding jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,769 kes (90.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). -MalaysiaGazette