Pengundi warga emas yang dipapah oleh Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk mengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah Sekolah Kebangsaan Bubul, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2020.
KUALA LUMPUR – Sebanyak 32 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri Sabah sehingga pukul 11 pagi tadi.

Maklumat peratusan keluar mengundi sejak pusat-pusat mengundi di 73 Dewan Undangan Negeri Sabah dibuka bermula pukul 7.30 pagi itu dikongsi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya di laman sosial.

PRN Sabah berlangsung dalam suasana berbeza berikutan pandemik Covid-19 di mana Negeri Di Bawah Bayu itu mencatatkan kes baharu tertinggi setakat ini.

Lebih sejuta rakyat Sabah dijangka keluar mengundi dalam PRN ke-16 yang menyaksikan sejumlah 447 calon daripada 15 parti politik termasuk 56 calon bebas bertanding bagi merebut 73 kerusi DUN.

PRN Sabah diadakan selepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN pada 30 Julai sehari selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa mendakwa telah memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Musa kemudiannya membawa kes ke mahkamah memohon supaya pembubaran DUN diisytiharkan sebagai tidak sah. – MalaysiaGazette