Calon Perikatan Nasional (PN) DUN N.66 Bugaya, Mohd Daud Tampokong bertembung bersama calon Bersatu DUN Senallang N.65, Norazman Utoh Nain ketika melawat tempat mengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Sekolah Agama Negeri Pekan, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2020.

SEMPORNA – Peratusan keluar mengundi yang rendah setakat ini melahirkan rasa bimbang bagi calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang, Norazman Utoh Nain, beliau mendapati hanya separuh sahaja pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat jam 1 tengahari tadi.

Perkembangan itu mula mencetuskan kebimbangan memandangkan tinggal tiga jam sahaja lagi untuk pengundi turun mengundi.

“Melalui lawatan ke beberapa pusat mengundi setakat ini kita dapati beberapa PDM bilangan pengundi yang turun agak merisaukan.

“Sebagai contoh saya dapat maklumat daripada pegawai SPR di PDM ini, bilangan pengundi yang turun setakat ini baru lebih kurang 700 orang sedangkan jumlah pengundi keseluruhan dalam 1700 orang.

“Jam satu petang belum 50 peratus yang turun setakat ini. Jadi kita kena maklumkan kepada Ketua PDM untuk mula masuk ke kampung-kampung untuk memberikan galakan kepasa pengundi kita supaya turun menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Calon Bersatu DUN Senallang N.65, Norazman Utoh Nain menunjukkan jari yang berdakwat kekal selepas melawat tempat mengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah Sekolah Agama Tun Sakaran, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2020.

Ditanya sama ada penularan pendemik Covid-19 menjadi faktor penyebab kepada pengurangan jumlah pengundi, Norazman tidak menolak kemungkinan itu.

“Saya dapati ramai pengundi yang mula risau untuk berkumpul jadi ini saya ingat menjadi penyebab utama kepada pengurangan pengundi setakat ini.

“Semua calon akan risau bila bilangan pengundi tidak mendapat kadar yang kita harapkan,” katanya.

Norazman menentang penyandang kerusi DUN Senallang, Datuk Seri Shafie Apdal.

Calon Perikatan Nasional (PN) DUN N.66 Bugaya, Mohd Daud Tampokong beramah mesra bersama pengundi ketika melawat tempat mengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Sekolah Agama Negeri Pekan, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2020.

Seorang lagi calon PN, Datuk Tampokong turut melahirkan rasa yang sama.

Namun beliau optimis pengundi akan turun juga menunaikan tanggungjawab.

“Sememangnya kita risau, jadi 40 peratus setakat jam 12 tengahari tadi agak merisaukan. Tapi saya ingat pengundi di Semporna ini tahu hak dan inilah masanya untuk berubah memilih calon yang terbaik daripada parti yang terbaik.

“Bila ada waktu mengundi di dalam web SPR, maka kemungkinan mereka ikut masa yang diberikan oleh SPR.

“Banyak saya melawat pusat mengundi mereka fikir itu adalah wajib ikut, kalau undi jam 10 pagi mereka akan datang pada 10 pagi. Saya fikir itu salah satu penyebab kepada jumlah undi hanya 40 peratus,” katanya lagi.

Untuk rekod, semua 741 pusat mengundi dan 2,540 saluran akan ditutup tepat jam 5 petang ini setelah 14 hari berkempen.

Sebanyak 48 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri Sabah sehingga jam 1 petang tadi.

Keputusan PRN Sabah dijangka diperoleh selewat-lewatnya jam 10 malam ini. – MalaysiaGazette