Dr. Mahathir Mohamad

LANGKAWI – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berhasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sekiranya dilaksanakan mengikut tempoh penggal semasa memandangkan usianya sudah mencecah 98 tahun ketika itu.

Namun bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu bersedia menawarkan nasihat serta berkongsi pengalaman dengan parti yang baru ditubuhkannya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) jika perlu.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui wakil media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, di sini hari ini.

Ditanya jika ada keperluan Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU pada ketika ini, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata  penularan pandemik COVID-19 menyukarkan perkara tersebut.

“Dalam keadaan biasa boleh (dibubarkan) kerana PRU beri balik kuasa kepada rakyat tentukan siapa jadi kerajaan. Tetapi waktu ini negara hadapi masalah COVID-19, masalah ini menyebabkan kos untuk mengadakan PRU tinggi dan mendedahkan rakyat kepada penularan penyakit itu.

“Saya yakin kalau PRU diadakan seperti biasa, ramai rakyat akan terkena COVID-19, ramai akan maut, meninggal dunia. Soalnya sama ada kita lebih utamakan politik atau nyawa rakyat?,” katanya.

Isu PRU kembali dibangkitkan sesetengah pihak selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lepas mendakwa menerima sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” daripada ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Untuk rekod, penggal Parlimen ke-14 akan tamat pada 16 Sept 2023.

— BERNAMA

 

2 Komen

  1. Kah kah kah…atok ni cakap satu rakyat jangan percaya lagi…sama ada dia ni nyanyuk atau memang dia kaki kencing

  2. Bertambah bodoh dah Atok ni, Sabah selamba je Shafie Aphdal buat pembubaran Dewan Negeri.
    Atok ni masih bijak selamatkan diri sendiri konon terlajak tua dan takut rakyat mati kena Covit19 sedangkan dia dengar jelas walau buat pekak jeritan rakyat Malaysia di Langkawi mahu dia berambus cepat.
    Langkawi bersumpah akan buat Atok hilang Wang pertaruhan untuk PRU akan datang.

Comments are closed.