Foto CNN.

KIEV – Rakaman kotak hitam pesawat tentera Ukraine yang terhempas berhampiran Kharkiv di timur negara itu ditemui.

Presiden Vllodymyr Zelenskyy berjanji penyiasatan segera dan adil akan dilakukan untuk mengetahui punca nahas yang mengorbankan 26 orang.

“Semalam, nahas ngeri itu mengorbankan nyawa anak-anak negara kami,” kata Zelenskyy dalam status Facebook miliknya hari ini.

Beliau turut mengisytiharkan hari perkabungan seluruh negara selama sehari ekoran kemalangan tersebut.

“Saya juga menegaskan pasukan penyiasat supaya menjalankan proses siasatan secara mendalam mengenalpasti apa yang berlaku pada saat-saat akhir dalam kokpit sebelum nahas berlaku supaya dapat merungkai puncanya,” ujarnya.

Terdahulu CNN melaporkan, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Anton Gerashchenko memberitahu, dua lagi mangsa parah dalam kejadian itu.

“Kebanyakan mangsa adalah penuntut Universiti Tentera Udara Kebangsaan Kharkiv,” kata kenyataan rasmi tentera udara negara itu.

Seramai 27 orang menaiki pesawat itu dengan 20 daripadanya adalah anggota kadet dan tujuh kru.

Ketika ini, pihak berkuasa masih menjalankan kerja mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

Pesawat berkenaan terhempas pada pukul 8.50 malam waktu tempatan, dua kilometer dari pangkalan tentera Chuhuiv.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast