Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bersama Presiden Prasarana yang juga Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias bergambar dengan pelekat "Melaka Maju Jaya" sempena pelancaran Kempen Pengiklanan Negeri Melaka menerusi ‘train wrap’ LRT di Stesen Masjid Jamek, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Melaka mensasarkan semula jumlah kehadiran pelancong ke negeri itu dari 20 juta kepada 5.6 juta sempena Tahun Melawat Melaka (TMM), tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Ali berkata, sasaran itu terpaksa disemak semula susulan penularan Covid-19 telah menjejaskan sektor pelancongan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

“Covid-19 bukan hanya memberi kesan kepada Melaka mahupun di negara kita, ini adalah salah satu kaedah untuk kita menarik pelancong-pelancong domestik untuk berkunjung ke Melaka.

“Pada tahun ini sebenarnya sasaran kita pelancong hadir ke Melaka adalah 20 juta orang, tapi disebabkan pandemik Covid-19 ini, kita mesti mensasarkan semula sasaran itu.

“Ia telah menampakkan hasil apabila produk-produk dan tempat pelancongan di Melaka sudah mula sesak termasuk Zoo Melaka dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Promosi Pelancongan Melaka Menerusi LRT Wrapping di Stesyen LRT Masjid Jamek, hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE), Firdaus Effendy Mokhtar.

Menurut Sulaiman, promosi menerusi LRT Wrapping selama enam bulan bermula 15 Ogos 2020 hingga 15 Februari 2021 dibuat di dalam dan luar enam gerabak LRT bagi laluan Seri Petaling Line/ Ampang Line yang merentasi 30 hentian bermula Stesen LRT Putra Heights hingga Stesen Sentul Timur.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Pengiklanan Negeri Melaka menerusi ‘train wrap’ LRT di Stesen Masjid Jamek, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 SEPTEMBER 2020

“Kerajaan Negeri Melaka akan memastikan semua penggiat industri pelancongan Melaka bersiap sedia memulakan operasi atau perkhidmatan masing-masing dengan mengamalkan kebiasaan baharu kehidupan dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kepada semua pelancong, Melaka bersedia memberikan perkhidmatan pelancongan terbaik dan selamat mengikut SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah melancarkan Kempen Dream Now Travel Later (DNTL) bermula sejak 1 Jun 2020 hingga 31 Disember 2020.

“Kempen ini bagi memperkenalkan aplikasi Melaka eXcess iaitu platform di dalam talian yang menjual pelbagai pakej pelancongan dan penginapan yang terdapat di Melaka.

“Pakej ini menawarkan bermula 10 peratus hingga 50 peratus dan ia sah sehingga 31 Disember 2020.

“Setiap pengguna akan menerima kredit sebanyak RM10 sebagai ganjaran memuat turun dan menggunakan aplikasi ini.

“Pelancong bertuah berpeluang memenangi hadiah sebuah Perodua Alza dan banyak lagi hadiah menarik berjumlah RM5 juta sepanjang kempen ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette