PRN Sabah pada September 2020 telah mencetuskan lonjakan kes Covid-19 di negara ini. Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Hari ini merupakan hari rakyat Sabah memilih dan membuat keputusan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Lebih kurang 1.08 juta pengundi layak memilih, 16,877 daripadanya telah mengundi awal pada 22 September yang lalu.

Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan kali ini yang menyaksikan pertambahan 13 kawasan baharu.

Secara keseluruhan, tidak ada pertandingan satu lawan satu susulan kesemua kerusi akan menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru dengan maksimum 11 penjuru.

Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membawa peti undi seawal jam 5.40 pagi sebagai persiapan pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Sekolah Agama Negeri Pekan, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2020.

Saingan lima, enam dan tujuh penjuru adalah yang dilihat  ciri umum pada pilihan raya negeri kali ini.

Artikel berkaitan: PRN SABAH : 73 DUN Sabah Dipertandingkan , Pusat Penamaan Calon Siap Sedia Disanitasi

Parti memerintah sebelum ini Parti Warisan Sabah (Warisan)  bertanding di 45 kerusi.

Bersama-sama sebagai Warisan Plus,  PKR bertanding di tujuh kerusi, DAP (7),  Parti Amanah Negara (Amanah) satu.

Barisan Nasional (BN) bertanding di 41 kerusi, manakala Perikatan Nasional 29 kerusi.

Parti Cinta Sabah (PCS) diterajui bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pula bertanding di kesemua 73, Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) (47), LDP (46).

Pencabar utama lain ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (28), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (23), Parti Bersatu Sabah(22), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (12).

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa peti undi masuk sebelum pusat mengundi mula dibuka pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2020.

PRN kali ini menyaksikan 56 calon bebas.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lepas, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh pengundian bermula 7.30 pagi sehingga 5 petang. -MalaysiaGazette