Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff bertanya sesuatu kepada Anuar Ismail, pada Majlis Pelancaran Projek Bakul Rezeki Khaira PPZ di Dewan Persatuan Penduduk, PPR Pantai Ria, Pantai Dalam Lembah Pantai, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM350 juta untuk membantu pelbagai golongan yang memerlukan dalam tempoh enam bulan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, peruntukan itu dikumpul dari beberapa agensinya di bawah kementerian.

Agensi-agensi tersebut termasuk Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-WAIWP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kata beliau, dengan jumlah itu, pihaknya bercadang untuk menubuhkan satu sekretariat yang bertanggungjawab menyusun perbelanjaan berkenaan supaya lebih sistematik dan kemas kini.

“Sebanyak RM350 juta dibelanjakan. Itu (jumlah) sangat banyak dan kami akan buat satu statistik.

“Kita akan sentiasa pantau dan saya ambil kecaknaan mengenainya supaya tidak timbul bisik-bisik, bayar zakat tetapi masih ada lagi (golongan) yang memerlukan.

“Kita akan cuba sedaya mungkin memastikan golongan sasar iaitu asnaf, gelandangan, nelayan, penoreh getah, orang asal, Sabah, Sarawak, di hulu, di kampung, di pantai, di tepi dan cerun bukit, semua kita bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Bakul Rezeki Khaira PPZ di Dewan Persatuan Penduduk, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff dan Pengerusi PPR Pantai Ria, Mohd Radi Razali.

Menurut Dr. Zulkifli, menerusi projek itu, seramai 650 penduduk dari empat PPR dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dipilih untuk menerima bantuan berkenaan dengan perbelanjaan kira-kira RM65,000.

Katanya, PPR itu melibatkan PPR Pantai Ria, Apartment Taman Sri Murni, PPR Jalan Jelatek dan PPR Sri Alam II.

Pada masa sama, katanya, pihaknya akan sentiasa menyantuni seramai mungkin golongan memerlukan itu untuk diberikan bantuan dalam pelbagai bentuk program dan projek termasuk BANGKIT, I-TEKAD dan terbaharu Lori Rezeki.

“Kita akan gerakannya menerusi PPZ-MAIWP termasuk Kuala Lumpur dan Labuan, Sabah. Bagaimanapun, kita juga beri sumbangan berdasarkan kepada golongan berkenaan ditempat yang memerlukan. Tetapi, sasaran kita ialah di Wilayah Persekutuan.

“Kita sentiasa beri pelbagai insentif, antaranya Projek Bakul Rezeki Kharia, Program BANGKIT, yang mana membantu usahawan untuk memulihkan perniagaan mereka.

“Inilah yang kita lakukan sejak PKP sehingga sekarang dan kita cuba menggiatkan lagi, termasuk membaiki rumah yang memerlukannya bawah Myhouse yang dikendalikan PPZ-MAIWP dan agensi lain. Tujuannya untuk menyenangkan golongan B40 dan asnaf dalam meniti kehidupan yang lebih baik lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast