Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bermula esok sehingga 10 Oktober depan, semua individu yang baru tiba dari Sabah di semua pintu masuk (domestik dan antarabangsa) diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, semua individu berkenaan termasuk bukan warganegara tidak akan dikenakan caj ujian saringan tersebut.

“Mengambilkira situasi semasa ini, terdapat keperluan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu dengan sejarah perjalanan dari Sabah bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan individu-individu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, kesemua individu yang baru tiba dari Sabah diwajibkan menjalani perintah kuarantin di rumah (HSO) bermula dari tarikh ketibaan di pintu masuk sehingga keputusan makmal diperolehi.

Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal adalah negatif Covid-19.

Bagi individu yang menggunakan perkhidmatan kenderaan awam seperti teksi dan kereta Grab untuk meneruskan perjalanan ke rumah, mereka akan diberikan surat kebenaran untuk ke alamat yang telah ditetapkan pada hari tersebut.

Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu tersebut perlu menjalani saringan ulangan bagi Covid-19.

Mereka juga wajib memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera dan daftar masuk menggunakan aplikasi ini setibanya di Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa).

“Tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan COVID-19 ke atas individu yang baru pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa, berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan pada masa tersebut dan maklumat mengenai sebarang perubahan berkaitannya akan dimaklumkan kepada umum,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast