Calon Perikatan Nasional (PN) N.12 Sulaman, Datuk Hajiji Noor menunjukkan jari dakwat kekal selepas membuang undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2020.

TUARAN – Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor berharap semua pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sebelum masa berakhir pada 5 petang nanti.

Beliau yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) DUN berkenaan berkata, berdasarkan pemerhatian, beliau yakin proses pengundian berjalan lancar sehingga petang nanti.

“Apa yang saya dapat lihat ialah satu perjalanan pengundian yang cukup teratur dengan SOP yang telah ditetapkan insyallah bagi Pusat Daerah Mengundi Serusup ini.

“Mudahan proses akan selesai semua sebelum ianya ditutup,” katanya selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Serusup sebentar tadi.

Hajiji selain itu  menambah, kelancaran proses PRN hari ini adalah kerana  pengurusan strategi yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Difahamkan setakat jam 10 pagi, 10.22 peratus daripada 1,361 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka di yang SK Serusup ini.

Bagi DUN Sulaman terdapat enam lagi pusat mengundi yang lain dengan  jumlah keseluruhan 11,711 orang.

DUN Sulaman menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Perikatan Nasional (PN) yang  mempertaruhkan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Dua calon lagi daripada Parti Cinta Sabah diwakili Datuk Rekan Hussein manakala calon Warisan, Datuk Aliasgar Basir.-MalaysiaGazette