Pengundi awal, Hasnah Mukai membuang kertas undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2020.

TUARAN – Warga emas berusia 70 tahun adalah yang paling awal tiba di  Pusat Mengundi DUN Sulaman, di Sekolah Kebangsaan Serusup bagi  menunaikan tanggungjawab menentukan kerajaan negeri Sabah hari ini.

Hasnah Mukai, meskipun tinggal berdekatan dengan pusat pengundian, namun beliau memilih untuk keluar seawal 7 pagi untuk mengelakkan  bertembung dengan pengundi lain dalam suasana penularan wabak Covid-19.

“Memang datang awal sebab saya warga emas jadi musim penyakit sekarang ini kan.

“Saya tidak berapa kuat jalan jadi, perlu keluar awal,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Untuk rekod, seluruh pusat pengundian bagi Pilihan Raya Negeri  (PRN) Sabah bermula 7:30 pagi hingga 5 petang.

Dalam pada itu, anak perempuan Hasnah iaitu Sanisah Yusuf, 49 tahun berkata beliau beria-ia membawa ibunya mengundi awal hari ini kerana bimbang terhadap kesihatan ibunya sebagai warga emas.

Pengundi awal, Hasnah Mukai (kanan) bersama anaknya, Sanisah Yusuf menunggu untuk mengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2020.

“Kalau keluar awal mengundi sebang sikit untuk elak bertembung ramai orang,” katanya lagi.

Sanisah berkata selain sebagai langkah berjaga-jaga beliau sudah tentunya sebagai rakyat Sabah bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini.

Apatah lagi ujar beliau,  pilihan telah dibuat lebih awal.

“Ada sudah pilihan lama sudah buat pilihan,” tambahnya.

PRN Sabah kali ini berlangsung dalam keadaan negeri itu menyaksikan peningkatan kes jangkitan Covid-19 saban hari. – MalaysiaGazette