Perikatan nasional Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin Proclamation of Emergency remain in power
Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada semua calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mencatatkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sekaligus berjaya membentuk kerajaan negeri baharu.

Sambi melahirkan rasa syukur di atas perkembangan yang menggembirakan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional menyifatkan kemenangan hari ini menunjukkan keyakinan rakyat kepada parti-parti dalam GRS yang terdiri daripada PN, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah.

“Inilah masanya untuk anda semua mencurah khidmat bakti yang terbaik kepada rakyat dan membuktikan bahawa kita sebenar-benarnya adalah prihatin kepada rakyat.

“Yang penting GRS yang akan membentuk Kerajaan Negeri Sabah mestilah berusaha sedaya upaya untuk menunaikan segala komitmen yang dinyatakan dalam Aku Janji GRS,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di rangkaian televisyen dan media sosial.

Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di negeri Sabah yang telah memilih calon-calon GRS.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya yang tidak terhingga kepada semua petugas dan sukarelawan yang telah membantu berkempen untuk calon-calon GRS dalam pilihan raya ini,” katanya.

GRS menang dalam PRN ke-16 dengan 38 kerusi melepasi majoriti mudah sehingga pukul 11.30 malam ini. – MalaysiaGazette