Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin melambai tangan ketika berjalan keluar selepas menghadiri perbincangan mengenai lantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin hari ini meminta tempoh bagi mempertimbangkan calon Ketua Menteri (KM) Sabah daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata demikian selepas mengadap TYT petang ini.

Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan tempoh masa yang diminta oleh TYT.

“Dia minta tempoh, secepat yang mungkin,” katanya.

Turut mengadap TYT pada 2:30 petang tadi adalah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim dan Presiden Star, Datuk Jefrey Kitingan.

Pertemuan dengan TYT berakhir  pada 3:20 petang.

Dalam pada itu, Jahid ketika diminta mengulas hanya berkata  GRS menyerahkan keputusan pemilihan Ketua Menteri negeri itu   sepenuhnya kepada TYT.

“Kita serahkan kepada TYT,” tambahnya.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) nampaknya masih belum memuktamadkan calon Ketua Menteri setelah memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah semalam.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bung Moktar, Hajiji mengadap TYT Sabah di Istana Negeri