KUALA LUMPUR – Lebihan dagangan Malaysia pada Ogos 2020 bernilai RM13.2 bilion, berkembang 19.7 peratus berbanding Ogos 2019.

Ini adalah lebihan dagangan bulan ketiga berturut-turut setelah merekodkan defisit pada April 2020.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport merosot 2.9 peratus tahun ke tahun kepada RM79.2 bilion.

Penurunan eksport didorong oleh eksport domestik, menyusut 5.2 peratus kepada RM64.6 bilion bagaimanapun, eksport semula yang bernilai RM14.6 bilion mencatatkan peningkatan 8.5 peratus tahun ke tahun dan menyumbang 18.4 peratus kepada jumlah eksport.

Import berjumlah RM65.9 bilion, menguncup 6.5 peratus daripada Ogos 2019.

Jumlah dagangan bernilai RM145.1 bilion, lebih rendah 4.6 peratus tahun ke tahun.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan penurunan eksport disebabkan oleh penurunan eksport ke Bangladesh (-RM1.5 bilion), Thailand (-RM978.0 juta), India (-RM726.7 juta), Jepun (-RM693.9 juta), dan Indonesia (-RM541.8 juta).

Walau bagaimanapun, eksport ke China dan Amerika Syarikat masing-masing meningkat sebanyak RM2.4 bilion dan RM1.1 bilion.

Sementara itu, import yang lebih rendah terutamanya dari China (-RM1.3 bilion), Republik Korea (-RM998.7 juta), Kesatuan Eropah (-RM878.2 juta), Thailand (-RM787.6 juta) dan Singapura (-RM780.2 juta).

Import yang lebih tinggi direkodkan dari Taiwan (+RM571.8 juta) dan Switzerland (+RM398.4 juta).

Mohd Uzir berkata, produk utama yang menyumbang kepada penurunan eksport adalah gas asli cecair (-RM1.5 bilion), barangan perkilangan logam (-RM1.2 bilion), kimia dan bahan kimia (-RM1.1 bilion) dan keluaran petroleum (-RM862 .4 juta).

Eksport barangan elektrik dan elektronik dan keluaran getah masing-masing meningkat sebanyak RM2.3 bilion dan RM1.5 bilion.

Sementara itu, penurunan import dicatat bagi kimia dan bahan kimia (-RM1.6 bilion), kelengkapan pengangkutan (-RM1.5 bilion), keluaran petroleum (-RM1.3 bilion) dan barangan besi dan keluli (-RM1.2 bilion).

Sementara itu, penurunan import mengikut penggunaan akhir disebabkan oleh barangan perantaraan dan barangan modal manakala import barangan perantaraan turun 5.6 peratus atau RM2.2 bilion kepada RM36.9 bilion.

Barangan modal merosot 15.5 peratus atau RM1.3 bilion kepada RM6.8 bilion tetapi import barangan penggunaan mencatatkan kenaikan 2.9 peratus kepada RM6.4 bilion. – MalaysiaGazette