Lee Zii Jia.

KUALA LUMPUR – Pembatalan beberapa kejohanan badminton antarabangsa tahun ini susulan pandemik COVID-19, memberi peluang terbaik kepada pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia, memantapkan persediaannya sebelum menyertai Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Pemain berusia 22 tahun itu memaklumkan, beliau sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang yang dialaminya ketika menyertai Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada Ogos lepas dan kembali menjalani latihan seperti biasa sejak awal bulan ini.

Beliau mengakui pembatalan beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Piala Thomas akibat pandemik itu memberi tekanan mental kepada barisan pemain negara, yang memerlukan lebih banyak kejohanan bagi mengekalkan prestasi masing-masing.

“Ini kali pertama saya merasai pengalaman sebegini (ketiadaan kejohanan dalam tempoh panjang). Setakat ini, masih ok tetapi sejujurnya saya bosan sebab tiada kejohanan, ini sedikit sebanyak menjejaskan mental para pemain,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di ABM, Bukit Kiara, hari ini.

“Saya akan berbincang dengan barisan kejurulatihan mengenai perancangan selepas ini dalam tempoh terdekat, sama ada memperbanyakkan aktiviti di luar sebelum kembali ke gelanggang,” kata pemain kelahiran Kedah itu.

Pencapaian terbaik Zii Jia pada musim ini adalah mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil pada Januari lepas.

Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) sebelum ini membuat keputusan menangguhkan saingan Piala Thomas dan Uber yang sepatutnya berlangsung di Aarhus, Denmark dari 3-11 Okt ini ke tahun hadapan susulan COVID-19.

Sukan Olimpik 2020 yang dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos turut ditunda kepada 23 Julai hingga 8 Ogos, 2021 akibat pandemik tersebut.- BERNAMA