Datuk Seri Amiruddin Shari

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dan isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad disahkan negatif Covid-19 hasil ujian saringan yang dilakukan semalam.

Perkara itu dikongsikan Amirudin menerusi Twitternya hari ini.

Menurut beliau, meskipun disahkan negatif daripada wabak itu, tetapi beliau tetap menjalankan tugas sebagai ketua kerajaan negeri walaupun terpaksa melakukannya di rumah.

“Alhamdulillah, saya dan isteri bebas Covid-19 namun untuk elak risiko saya masih menghadkan urusan dari rumah dan mesyuarat akan diadakan secara dalam talian.

“Program melibatkan hubungan ramai juga saya gantikan EXCO lain. Dalam empat hingga lima hari ini saya akan buat saringan lagi,” ciap beliau di laman sosial berkenaan.

Amirudin dan isterinya menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus pulang dari Sabah kerana terlibat dengan program parti dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Saringan itu dibuat kerana terdapat keperluan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 berikutan peningkatan wabak berkenaan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini memaklumkan, semua individu yang baru tiba dari Sabah diwajibkan menjalani ujian saringan di pintu masuk antarabangsa bermula 27 September hingga 10 Oktober. – MalaysiaGazette