nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) memandang serius beberapa kru kabin yang dihubungi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ekoran ada penumpang yang baru pulang dari Sabah mempunyai gejala.

Oleh itu, NUFAM memohon KKM memantau prosedur standard operasi (SOP) untuk memastikan syarikat-syarikat penerbangan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Ini kerana, dakwa Sekretariat NUFAM, ada syarikat penerbangan dan kru kabin yang lalai dengan tidak mematuhi SOP seperti memakai pakaian pelindung diri semasa bertugas.

Sedangkan kelalaian ini memberi risiko yang besar memandangkan kes jangkitan Covid-19 di Sabah membimbangkan.

“Memandangkan kes kluster baharu sudah pun merebak di kawasan Semenanjung, pematuhan SOP adalah amat penting setiap orang.

“Kita juga mahu KKM turut melaksanakan arahan kuarantin kepada mana-mana kru kabin yang pulang dari Sabah untuk mengelak Covid-19 merebak.

“Ini kerana ada kes kru kabin dipanggil untuk disaring selepas ada penumpang yang balik dari Tawau didapati ada gejala Covid-19, sedang sebelum disaring kru kabin berkenaan sudah pun berjalan-jalan dan bertemu dengan orang lain.

”Disebabkan itu, kami berpandangan amat penting mereka yang pulang dari Sabah harus menjalankan saringan ketat dan dikuarantin apabila tiba di KLIA,” katanya kepada MalaysiaGazette.

NUFAM berharap saranannya diambil serius oleh semua pihak kerana kesemua pesawat dari Sabah padat dengan penumpang setelah tamatnya Pilihan Raya Negeri.

Berdasarkan aduan penumpang yang diterima, penjarakan fizikal di dalam pesawat tidak dilaksanakan meskipun Sabah merekodkan banyak kes jangkitan dan kluster.

Sehubungan itu, tegas NUFAM, kru kabin yang sudah menjalankan ujian Covid-19 turut kuarantin di rumah untuk satu tempoh yang ditetapkan oleh KKM.

“Kita tidak mahu risiko yang dipikul oleh kru kabin apabila mereka diberi tugas untuk beroperasi ke negeri lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette