Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan yang menyambung kontrak perkhidmatan 79 pegawai perubatan selama enam bulan disifatkan sebagai langkah tidak bijak.

Bagi Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), kesemua 2,070 pegawai perubatan yang terlibat dalam perkara itu sepaturnya diserap dalam penjawatan tetap bukannya sambung kontrak.

Presidennya, Adnan Mat berkata, CUEPACS kecewa dengan pendekatan yang diambil Menteri Kesihatan, Datuk Adham Baba dengan kontrak 2,070 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi disambung secara one-off untuk tempoh enam bulan lagi.

“Penyambungan kontrak itu membabitkan 79 pegawai perubatan yang telah melengkapkan khidmat wajib sahaja kerana telah mengikuti latihan siswazah di luar negara, 852 pegawai pergigian dan 1,139 pegawai farmasi yang telah menamatkan latihan atau khidmt wajib.

“Dalam hal ini CUEPACS melahirkan rasa terkejut dan terkilan kerana petugas-petugas kesihatan ini tidak dilantik secara tetap memandangkan KKM (Kementerian Kesihatan Mlaysia) telah menerima kelulusan 10,675 perjawatan baharu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ini.

“Daripada 10,675 perjawatan baharu tersebut, kerajaan telah menyerahkan sebanyak 385 waran perjawatan bagi pengoperasian Hospital Rembau, Negeri Sembilan pada 2 Disember 2019 (Fasa Pertama),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, pengumuman KKM semalam seolah-olah pengorbanan mereka selama ini tidak dihargai oleh kerajaan.

“Sewajarnya keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan berstatus kontrak untuk mengisi kekosongan perjawatan sedia ada memandangkan pengalaman mereka yang sudah bertugas di lapangan.

“Oleh demikian CUEPACS menggesa agar KKM melantik semua petugas kesihatan yang berstatus kontrak terutama yang bertugas di barisan hadapan ke jawatan tetap.

“Kerajaan telah meluluskan 10,560 waran perjawatan dan tiada sebab untuk KKM meneruskan lantikan kontrak kepada barisan hadapan yang telah dilantik ketika ini.

“Ini adalah amat tidak adil kepada mereka kerana jawatan-jawatan telah diwujudkan dan sememangnya mempunyai keperluan mendesak untuk diisi,” katanya.

Adnan menjelaskan bahawa petugas kesihatan yang berstatus kontrak termasuk Pegawai Kesihatan Persekitaran/Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran ini wajar dan perlu dilantik secara tetap sebagaimana peruntukan yang telah diberi oleh kerajaan melalui waran perjawatan.

Menurutnya lagi, pemberian lantikan tetap ini sekurang-kurangnya dapat memberi motivasi kepada perkhidmatan cemerlang mereka dalam usaha membanteras penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette