WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) telah mengharamkan pengimportan minyak sawit FGV Holdings Bhd (FGV) dengan mendakwa ia menggunakan buruh paksaan dalam proses pengeluarannya.

FGV, pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia, telah lama menghadapi dakwaan tersebut daripada organisasi bukan kerajaan antarabangsa bahawa pekerja asing di ladangnya dilayan dengan kasar.

Kastam dan Pengawalan Sempadan (CBP) AS berkata, pengharaman tersebut dilaksanakan berikutan siasatan yang telah lama dilakukan yang mendedahkan terdapat indikator buruh paksaan termasuk terdedah kepada bahaya, penipuan, keganasan fizikal, keganasan seksual, intimidasi dan ancaman serta penahanan dokumen identiti.

Siasatan juga meningkatkan kebimbangan terhadap potensi buruh paksaan kanak-kanak yang digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit FGV, katanya dalam kenyataan sambil menambah pengharaman tersebut berkuatkuasa serta merta, lapor Reuters.

“Penggunaan buruh paksaan dalam pengeluaran produk membenarkan syarikat-syarikat menjana keuntungan daripada penyalahgunaan pekerja,” kata Penolong Pesuruhjaya Eksekutif CBP di pejabat perdagangan, Brenda Smith.

Smith berkata, syarikat Procter & Gamble yang menjalinkan usahasama dengan FGV perlu beri perhatian terhadap larangan tersebut.

“Saya tidak dapat mengulas secara spesifik mengenai usahasama Procter & Gamble tetapi jika Procter & Gamble adalah pengimport, merahsiakan tempahan adalah sesuatu yang mereka perlu ambil serius,” kata Smith.

CBP akan mengeluarkan ‘arahan penahan’ yang akan membenarkan ia menahan penghantaran kerana mengesyaki terdapat pembabitan buruh paksaan di bawah undang-undang AS yang menyasarkan membanteras pemerdagangan manusia, buruh kanak-kanak dan penyalahgunaan hak asasi manusia. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Buruh paksa? Felda pakai buruh paksa? di mana tu?? ada contoh kes kah?? kaki kencing US ni..padan lah muka ko hancur kena Covic19

Comments are closed.