Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni semasa perbahasan pada sidang DUN Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor hari ini mengangkat sumpah kerahsiaan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru dilantik.

Kedua-dua mereka iaitu ADN Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah dan ADUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengangkat sumpah di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) hari ini.

Majlis berlangsung secara maya dengan disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang kemudian mempengerusikan mesyuarat Eco susulan menjalani proses kuarantin di rumah.

Pada 17 September Borhan dan Mohd Zawawi mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri yang baharu di Balairung Seri Istana Alam Shah.

Dalam satu kenyataan semalam Pejabat Amiruddin memaklumkan bahawa beliau akan mempengerusikan mesyuarat utama Kerajaan Negeri secara maya sehingga 4 Oktober.

Amirudin kini menjalani saringan Covid-19 secara berkala selepas pulang dari Sabah.

Langkah itu bagi memastikan dirinya bebas jangkitan sebelum kembali bertugas seperti sediakala.

Bagaimanapun, beliau dan isterinya Datin Seri Masdiana Muhamad disahkan negatif Covid-19 tetapi mengehadkan urusan dengan bertugas dari rumah.

Amirudin berada di Sabah sejak 22 September lalu bagi membantu jentera Pakatan Harapan menghadapi pilihan raya negeri.

Bermula 27 September hingga 10 Oktober, individu yang pulang dari Sabah wajib melakukan saringan Covid-19 dan menjalani perintah pengawasan serta pemerhatian di rumah (HSO). – MalaysiaGazette