Gambar hiasan

NEW YORK – Harga minyak dunia turun lebih daripada 3% kepada paras terendah dalam tempoh dua minggu berikutan kebimbangan prospek permintaan bahan bakar ketika Eropah dan Amerika Syarikat (AS) bergelut dengan lonjakan jangkitan koronavirus.

Pelabur saham dan komoditi juga berhati-hati menjelang perbahasan kali pertama antara Presiden Amerika Syarikat dan pesaingnya dari Demokrat, Joe Biden.

“Dagangan hari ini rendah diikuti penurunan ekuiti,” kata Jim Ritterbusch, Presiden Ritterbusch and Associates di Galena, Illinois.

Pada hari kedua sebelum berakhirnya niaga hadapan bulan depan, harga Brent untuk penghantaran November jatuh sebanyak AS$ 1.40, atau 3.3% kepada AS$ 41.03 setong.

Sementara kontrak Brent yang lebih aktif untuk bulan Disember jatuh 3.1% untuk ditutup kepada AS$ 41.56.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) juga turun AS$1.31 atau 3.2% kepada AS$ 39.29 setong.

Penurunan harga tersebut berlaku menjelang pengumuman data inventori minyak AS dari Institut Petroleum Amerika (API) pada hari Selasa dan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) pada hari Rabu.

Para penganalisis menjangkakan stok minyak mentah meningkat 1.6 juta tong minggu lalu. – MalaysiaGazette