Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus dibantu kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dalam menguruskan aliran tunai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) kesal dengan keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) terhadap Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan 22 ahlinya yang didakwa melanggar melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

Ini kerana, perjanjian berhubung dengan pemberian diskaun jual beli ke atas harga alat ganti dan kadar upah pekerja mengikut jam bagi kerja pembaikan kenderaan motor oleh bengkel di bawah PIAM Approved Repairers Scheme (PARS) dilaksanakan melalui kerjasama dan arahan BNM kepada penanggung insurans am.

Perjanjian itu bagi menangani pertikaian antara bengkel dengan syarikat insurans am yang telah mengakibatkan kerugian yang besar kepada pengguna.

Hal ini disebabkan oleh kelewatan dan perselisihan yang berpanjangan berhubung dengan bayaran tuntutan insurans untuk pembaikan kenderaan motor.

Pengaturan yang dipersetujui telah dilaksanakan selepas perbincangan diadakan antara PIAM dengan Persekutuan Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia (FAWOAM).

“Hasil daripada campur tangan pengawalseliaan BNM, kelewatan penyelesaian tuntutan akibat pembaikan kenderaan motor telah berkurang dengan ketara dan pemegang polisi mendapat perkhidmatan yang lebih baik melalui proses penyelesaian tuntutan yang lebih cekap.

”Sebagai contoh, tempoh purata dari tarikh pemakluman sesuatu kemalangan kepada selesainya kerja-kerja pembaikan telah berkurang sebanyak 55% sejak tahun 2010,” kata Bank Pusat itu.

Dalam keputusan tersebut, selain mengenakan penalti dalam bentuk kewangan, MyCC juga mengarahkan pihak yang terlibat supaya berhenti dan dilarang daripada memberikan diskaun jual beli alat ganti dan kadar upah pekerja mengikut jam yang telah dipersetujui.

Jumlah diskaun dan kadar upah perlu ditetapkan secara bebas oleh penanggung insurans dan bengkel.

Mengulas keputusan itu, BNM berkata, keputusan yang dibuat oleh MyCC ini mungkin menjejaskan hasil positif yang dicapai pada masa lalu serta inisiatif yang sedang dilaksanakan olehnya dan industri untuk menangani kes penipuan dan meningkatkan kecekapan dalam proses tuntutan motor.

Seterusnya, keputusan ini akan mempunyai kesan yang kompleks dan meluas terhadap akses dan kos insurans motor bagi pengguna Malaysia.

Berikutan keputusan yang dibuat oleh MyCC ini, BNM akan mengikut proses yang sewajarnya dan meneliti pilihan yang ada bagi melindungi kepentingan orang ramai yang menggunakan kenderaan motor.

Jika mana-mana pemegang polisi menghadapi kelewatan yang tidak wajar dalam pembaikan dan pelepasan kenderaan anda, sila hubungi penanggung insurans masing-masing untuk mendapatkan nasihat.

Untuk pertanyaan dan aduan umum, pemegang polisi juga boleh menghubungi BNMTELELINK melalui talian 1-300-88-5465 atau [email protected]. – MalaysiaGazette