Tan Sri Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan kontrak Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan serta Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim tamat pada hari ini.

Dalam satu ciapan di Twitternya, Annuar berkata, sebarang pelantikan baharu mahupun pembaharuan kontrak kepada kedua-duanya akan dilakukan dengan segera selepas melalui prosedur yang telah ditetapkan.

“Datuk Bandar KL dan Presiden Perbadanan Puterajaya, masing-masing tamat tempoh lantikan mereka (kontrak) hari ini.

“Mereka telah berkhidmat dengan cemerlang,” katanya.

Nor Hisham dan Aminuddin kedua-duanya dilantik ke jawatan masing-masing pada Oktober 2018.

Nor Hisham yang sebelum ini adalah Presiden Majlis Perbandaran Subang Jaya dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2018.

Baru-baru ini berlaku kontroversi antara beliau dengan Annuar apabila Jalan Raja Laut 1 ditukar nama kepada Jalan Palestin.

Artikel berkaitan: Tukar nama Jalan Raja Laut ke Jalan Palestin: Annuar minta DBKL beri penjelasan

Jalan tersebut dirasmikan oleh Nor Hisham dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Menurut Annuar, beliau tidak mempunyai masalah untuk menukar mana-mana nama jalan kepada Jalan Palestin namun pemilihan jalan tersebut haruslah dibuat dengan teliti.

Beliau mempersoalkan mengapa nama Jalan Raja Laut yang membawa makna besar kepada sejarah Melayu diubah sedangkan masih banyak nama jalan Inggeris yang boleh dipilih untuk dinamakan sebagai Jalan Palestin seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay atau Jalan Cochrane. – MalaysiaGazette