Presiden Kebangsaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Cara berpolitik yang membawa unsur perkauman harus dihentikan kerana ia boleh menghalang pembangunan dan kemajuan negara.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, beliau bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa agar politik perkauman dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini ditamatkan.

“Beliau (Muhyiddin) percaya bahawa masalah terbesar yang dihadapi oleh Malaysia ialah ‘politik perkauman’.

“Kenyataan dan tindakan perkauman yang dibuat oleh sesetengah ahli politik dari semasa ke semasa sering memperlebar jurang antara kumpulan etnik dan menimbulkan salah faham di antara kumpulan etnik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dominic berkata, tanpa mengira bangsa, perlakuan adil terhadap seluruh rakyat adalah falsafah asas Gerakan.

Katanya lagi, beliau berharap agar Perdana Menteri berlaku adil kepada semua etnik bagi memastikan semua rakyat di negara ini dapat berkongsi hasil kemakmuran dan kejayaan.

Dominic memberitahu, kesamarataan sosial adalah salah satu isu utama bagi mencapai keadilan sosial serta politik perkauman akan melucutkan peluang dan hak kumpulan etnik yang berlainan untuk berpartisipasi dalam masyarakat dan ekonomi.

Malah, wacana yang semakin serius pada hari ini mengenai politik perkauman juga telah memburukkan lagi ketaksamaan yang wujud dalam masyarakat Malaysia dan merobek hubungan antara masyarakat dari semua etnik, ujarnya. – MalaysiaGazette