KUALA LUMPUR  – Pengeluar air mineral semula jadi paling laris di Malaysia Spritzer Malaysia (Spritzer) menyempurnakan inisiatif pemuliharaan dan penanaman semula batu karang di dasar laut sekitar Salang, Pulau Tioman, Pahang baru-baru ini bagi membantu memulihara ekosistem marin kawasan tersebut.

Spritzer dalam kenyataannya berkata, inisiatif itu membentuk sebahagian daripada “Program Pemuliharaan Pulau” Spritzer dan dibantu oleh pertubuhan bukan kerajaan, LegeS Divers, yang memantau batu-batu karang dan mengemas kini maklumat kepada Spritzer mengenai kemajuannya.

“Program ini dilakukan dengan inisiatif sukarelawan Spritzer, dengan kerjasama LegeS Divers, membantu didalam kerja-kerja penanaman semula dan pemuliharaan batu karang di pesisiran pantai Salang,” kata Spritzer.

Inisiatif ini begitu penting kepada ekosistem laut di sekitar Pulau Tioman kerana batu karang memberi perlindungan kepada banyak spesies ikan dan juga melindungi garis pantas daripada ribut taufan dan hakisan.

Sukarelawan Spritzer juga membantu sukarelawan daripada komuniti tempatan dan LegeS Divers dari 18 – 20 September 2020 mengutip sampah sarap di pantai, selain di dasar laut bagi mewujudkan alam sekitar yang lebih bersih di kedua-dua daratan dan laut.

“Program Pemuliharaan Pulau” adalah sebahagian daripada sumbangan Spritzer kepada kelestarian alam sekitar, selain mencetuskan kesedaran dalam kalangan kakitangan mengenai kepentingan planet memiliki sistem ekologi yang teguh. – MalaysiaGazette