Pengarah Besar Felda, Othman Omar. foto IQBAL BASRI, 06 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Felda akan mengumumkan pelantikan Pengarah Besar yang baharu dalam masa terdekat berikutan kontrak Datuk Dr. Othman Omar selama dua tahun tamat pada hari ini.

Menurut kenyataan Felda, sepanjang tempoh perkhidmatannya beliau telah menerajui usaha-usaha pemulihan kumpulan perladangan itu dan menggerakkan pelaksanaan Kertas Putih Felda.

“Beliau telah menzahirkan komitmen tinggi dalam menjayakan Program Pembangunan Peneroka (PPP) untuk mempelbagaikan dan meningkatkan pendapatan warga peneroka selain mengurangkan kebergantungan pada komoditi sawit dan
getah,” katanya.

Menurut Felda, seluruh ahli lembaga pengarah, pengurusan serta petugasnya mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau dan selamat maju jaya serta mendoakan kesihatan, kesejahteraan serta kejayaan pada masa depan. -MalaysiaGazette