Foto hiasan. Seorang penghuni menjemur baju di luar tingkap rumahnya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bangunan Selangor Mansion, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 28 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dinasihatkan untuk berbincang secara serius untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusof, langkah itu difikirkan sesuai tatkala bilangan kes positif Covid-19 semakin meningkat.

“Sangat sesuailah (adakan PKP semula). Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri juga perlu membincangkan secara serius kemungkinan untuk melaksanakan semula PKP di seluruh kawasan pentadbiran mereka bagi mencegah penularan kembali wabak ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian mengilas mengenai ciapan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata bahawa bagaimana sekiranya PKP dilaksanakan semula.

“How about all stay at home for awhile again? (Bagaimana kalau semua duduk di rumah semula?),” ciap beliau hari ini.

Ciapan itu mendapat lebih 3,000 retweet, 1,250 petikan dan lebih 2,6000 likes.

Dr Kamarul Zaman Yusuf

Dalam pada itu, Dr. Kamarul Zaman berkata langkah itu perlu memandangkan ramai ahli-ahli politik dan penyokongnya yang baru pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah minggu lalu.

“Ia perlu khususnya bagi ahli-ahli politik yang sedang sibuk mencatur gerak kerja mereka eloklah dihentikan serta-merta segala aktiviti mereka demi kemaslahatan kesihatan rakyat dan negara.

“Begitu juga dengan semua warganegara lain, utamakanlah pencegahan Covid-19 dengan tidak keluar dari rumah untuk melakukan apa-apa aktiviti yang tidak perlu,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak akan melaksanakan PKP susulan kes Covid-19 melonjak kepada tiga digit sebelum ini.

Katanya, pendekatan diambil kerajaan adalah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di kawasan sasaran iaitu lokasi terkesan Covid-19.

PKP bermula 18 Mac lalu dan berakhir pada 12 Mei. Ia kemudian dilanjutkan dengan pelaksanaan Peritnah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) iaitu pada 13 Mei sehingga 9 Jun.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula bermula pada 10 Jun sehigga 31 Disember tahun ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PKP dilaksanakan semula?