TAPAH – Laluan di Batu 24, Jalan Pahang, Tapah-Cameron Highlands ketika ini ditutup kepada semua jenis kenderaan susulan kejadian tanah runtuh di situ yang berlaku kira-kira 6 petang tadi akibat hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya.

Selain itu, polis turut dimaklumkan dua insiden pokok tumbang, masing-masing di Batu 12 dan Batu 18, di jalan berkenaan, katanya.

“Berikutan itu hanya satu laluan boleh digunakan dan terhad untuk kenderaan ringan sahaja. Bagaimanapun, kerja pembersihan ditumpukan di Batu 24 terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan malam ini. – Bernama