SOP diketat perlu dilaksanakan oleh pengangkutan awam susulan lonjakan kes Covid-19. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mulai esok, semua operator di terminal dan stesen termasuk perkhidmatan kaunter pengangkutan awam seluruh negara perlu melaksanakan langkah-langkah pencegahan Covid-19 serta saringan kesihatan yang lebih ketat, menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini termasuk melakukan pembersihan atau disinfeksi, mengamalkan penjarakkan fizikal dan penggunaan pelitup muka dikuatkuasakan tanpa kompromi demi kepentingan semua pihak termasuk para kakitangan dan pengguna pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meminta semua pihak mengambil serius berhubung perkara ini.

”Sebanyak 260 kes dilaporkan positif Covid-19 hari ini dan peningkatan sehingga angka tiga digit ini pastinya membimbangkan kita semua,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ka Siong berkata, beliau yakin dan percaya bahawa rakyat tidak mahu lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang telah dilalui pada bulan Mac lalu.

Oleh itu, sentiasalah menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan kerap menggunakan sabun, mengamalkan penjarakkan fizikal, mengelakkan tempat yang sesak jika tiada keperluan penting dan segera ke klinik atau hospital sekiranya mengalami simpton atau tidak sihat, ujarnya.

Menurut beliau, melawan pandemik Covid-19 adalah tanggungjawab bersama. – MalaysiaGazette