Anggota polis dan tentera yang terlibat dalam Operasi Benteng mengawal ketat sempadan negara dari dibolosi pendatang asing tanpa izin.

KUALA LUMPUR – Semua agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri telah diarah memperketatkan lagi kawalan sempadan darat dan laut negeri Sabah daripada pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kementerian itu memandang serius peningkatan bilangan kes Covid-19 yang tinggi dan membimbangkan di negeri itu.

”Oleh yang demikian, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah diarah memperketatkan lagi kawalan sempadan darat dan laut
negeri Sabah.

”Saya turut mengarahkan bilangan anggota dan operasi yang terlibat dalam Op Benteng ditambah sebagai langkah memastikan pencerobohan PATI yang berkemungkinan membawa virus Covid-19 dan penyebarannya dalam kalangan rakyat tempatan dapat dikekang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, KDN akan terus memantau perkembangan terkini di semua lokasi-lokasi panas yang merupakan titik pendaratan atau lorong-lorong tikus digunakan oleh PATI untuk menceroboh masuk ke dalam negara.

Semalam, Malaysia merekodkan sebanyak 260 kes jangkitan baharu Novel Koronavirus dan mengenal pasti empat kluster baharu.

Jumlah itu adalah kes Covid-19 kedua tertinggi pernah direkodkan di negara ini.

Kes Covid-19 tertinggi di Malaysia direkodkan pada 4 Jun 2020 iaitu sebanyak 277 kes, yang mana 270 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara daripada Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil. – MalaysiaGazette