Hajiji Noor

TUARAN – Kerajaan Negeri Sabah mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong yang meninggal dunia hari ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata kerajaan negeri juga berharap keluarga mendiang bersabar menghadapi ujian itu.

“Kerajaan negeri Sabah mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, saya harap keluarga mendiang bersabar dan dapat menerima ketentuan Tuhan yang Maha Esa,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Haji Noor, Kampung Serusup di sini hari ini.

Liew meninggal dunia pada 11.50 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, dipercayai akibat jangkitan pada paru-paru.

Mendiang sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan tenat di unit rawatan rapi hospital berkenaan.

Liew, 60, yang berasal dari Kota Belud, dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu dan pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi undang-undang serta merupakan Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah.

Liew yang juga seorang peguam, meninggalkan isteri Datin Dr Lindai Lee dan empat orang anak.

— BERNAMA