Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (kiri) diiringi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (dua kanan) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu, Datuk Mahadi Che Ngah (dua kiri) semasa menandatangani memorandum pada Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Mahadi Che Ngah akan menumpukan tiga perkara dalam memastikan Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang maju dan berjaya.

Pertama, beliau akan sedaya mungkin menyelesaikan masalah banjir kilat, kedua, permasalahan kesesakan lalu lintas dan ketiga, mengurus tadbir ibu kota dengan penuh efesien.

“Sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, saya rasa saya agak biasa dengan permasalahan yang selalu dibangkitkan warga kota.

“Jadi, saya boleh simpulkan kepada tiga perkara teras, iaitu mengenai kedudukan ibu kota Kuala Lumpur itu sendiri, yang baru-baru ini berdepan dengan masalah banjir kilat.

“Seterusnya, seperti biasa, permasalahan dari segi kesesakan lalu lintas yang sering menjadi perhatian dan dari segi urus tadbir bandaraya Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu, Datuk Mahadi Che Ngah pada Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 OKTOBER 2020

Beliau menerima tugas itu dari mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan disaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar.

Menurut Mahadi, itu antara tiga perkara utama yang dalam tumpuannya, di samping beberapa perkara yang dibangkitkan oleh menteri kepadanya untuk diberikan perhatian.

Secara amnya, kata beliau, tiga permasalahan itu yang akan menjadi tumpuannya sepanjang beliau menerusi DBKL.

Pelantikan Mahadi sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dianggap tepat, kerana beliau bukan asing dengan urus tadbir DBKL.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Wilayah dari Universiti Teknologi Mara tahun 1983 dan Master Sc. In Urban And Regional di University of Strathclyde, Scotland pada 1991 pernah menjawat jawatan Pegawai Perancang Bandar dan Desa J3 di Jabatan Perancang Bandar DBKL pada 1984.

Selepas itu dinaikkan pangkat kepada J2 pada 1999, J52 (2004), J54 (2007) dan Gred Utama C Vu7 pada 2011.

Artikel berkaitan: Mahadi Datuk Bandar KL baharu

Tiga tahun kemudian, pada 2014, beliau dinaikkan pangkat ke Gred Utama B VU6 sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perancangan, dan seterusnya dinaikkan lagi ke Gred Utama A VU6 sebagai Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek), sebelum bersara wajib pada 3 september 2019.

Semalam, Annuar mengumumkan Mahadi sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu bagi tempoh dua tahun yang berkuat kuasa 1 Oktober, semalam. – MalaysiaGazette