KUALA LUMPUR – Sime Darby Plantation Bhd (SDP) hari ini mengesahkan menjadi syarikat perladangan kedua negara selepas FGV Holdings Bhd (FGV) yang produknya disekat memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS),

Dalam kenyataannya di sini, SDP memaklumkan ia menjadi subjek petisyen yang dikemukakan oleh Liberty Shared (LS) bersama Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS pada 20 April lalu seperti dilaporkan sebelum ini.

SDP berkata, walaupun pihaknya berusaha untuk berhubung dengan CBP tetapi tidak ada kesempatan untuk memberi penjelasan berhubung tuduhan yang dilemparkan oleh LS.

Jelasnya lagi, sebelum ini SDP telah mengemukakan maklum balas ke atas ringkasan petisyen LS dan kenyataan awam kerana tindakan itu adalah langkah terbaik berdasarkan maklumat terhad yang ada.

Kenyataan itu dibuat pada 8 Julai, 10 Julai dan 7 Ogos 2020.

SDP menambah, selama bertahun-tahun,syarikat perladangan itu menerapkan prinsip-prinsip pembangunan mampan di seluruh operasi.

“Kami juga memberi penekanan dalam komitmen untuk menegakkan hak asasi manusia dan perhatian untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada dalam operasi dan rantaian bekalan.

“Malah penekanan itu akan membabitkan sesi libat urus dengan LS dalam melaksanakan tinjauan bebas terhadap tadbir urus, prosedur dana amalan yang berkaitan dalam aspek yang menjadi perhatian,” kata SDP.

Baru-baru ini, media melaporkan SDP merupakan firma kedua yang berisiko berdepan perintah pelepasan atau larangan import oleh CBP.

CBP telah mengarahkan penerbitan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) terhadap produk sawit dan minyak sawit yang dihasilkan FGV berdasarkan maklumat munasabah yang menunjukkan berlaku penggunaan buruh paksa.

Penggunaan buruh paksa itu didakwa dilakukan secara sekatan pergerakan, keganasan fizikal dan seksual, ancaman, penyimpanan dokumen diri, sekatan gaji dan waktu kerja yang panjang.

Penggunaan buruh paksa kanak-kanak turut didakwa berlaku dalam pengeluaran minyak sawit oleh FGV. – MalaysiaGazette