Donald Trump. foto Agensi

WASHINGTON – Presiden Donald Trump tidak bersetuju dengan sebarang perubahan undang-undang yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Debat Presiden (CDP).

“Mengapa saya harus membenarkan CDP menukar undang-undang untuk debat kali kedua dan ketiga apabila saya menang mudah pada debat pertama,” kata Trump menerusi Twitter meskipun undi menunjukkan Joe Biden telah berdebat dengan baik.

Ciapan daripada Trump itu muncul selepas CDP menimbang untuk mengubah format semasa mengadakan baki dua debat supaya perbincangan isu lebih teratur.

Ia susulan kritikan teruk yang diterima semasa debat pertama Trump dan Biden pada Selasa lalu.

Semasa di atas pentas di Cleveland, Ohio, Trump mengganggu Biden pada hampir setiap topik yang dibicarakannya dan mengejek intelek dan prestasi pesaingnya semasa di kolej.

Setiausaha akhbar White House, Kayleigh McEnany semasa taklimat berkata, Trump “ingin berdebat, beliau merancang untuk berada di dalam perbahasan, tetapi beliau mahu peraturan itu adil dan menginginkan pertukaran yang adil dan tidak mahu peraturan yang melindungi ketidakmampuan calon tertentu untuk menunjukkan prestasi yang baik”.

Dalam satu taklimat kemudian, penasihat kempen Trump, Jason Miller mengatakan Trump akan mengambil bahagian dalam dua perbahasan berikutnya menentang Biden.

Malah, kata Trump ”tidak seharusnya ada perubahan” pada peraturan yang telah dipersetujui lagipun Biden komited untuk menyertai acara tersebut.

Biden yang mengkritik tingkah laku Trump semasa perbahasan menyatakan perubahan format diperlukan.

”Saya hanya berharap ada cara yang mana CDP dapat mengawal kemampuan kita untuk menjawab soalan tanpa gangguan,” kata Biden kepada wartawan.

Speaker Dewan AS, Nancy Pelosi berkata, beliau tidak fikir Biden harus membahaskan lagi dengan Trump.

”Saya sendiri tidak menyangka Joe Biden harus berdebat dengan presiden yang tidak mempunyai komitmen terhadap fakta, bukti, data, merendahkan jawatan yang dipegangnya,” kata wakil Demokrat California itu semasa wawancara dengan Bloomberg TV.

Debat Presiden 2020 yang kedua akan diadakan pada 15 Oktober di Pusat Seni Pertunjukan Adrienne Arsht di Miami, Florida, negeri asal Trump. – MalaysiaGazette